Monday, October 19, 2009

Photobucket


Seorang lelaki menanam pokok bunga ros di halaman rumahnya. Setiap hari dia menyiram dan menjaga pokok tersebut sehinggalah pokok ros itu mengeluarkan bunga putik bunga. Lelaki itu meneliti putik bunga tersebut. Tiba-tiba dia terpandang duri-duri yang terdapat pada batang pokok ros tersebut.


"Batang pokok ini dipenuhi duri. Aku tidak yakin pokok ini akan mengeluarkan bunga yang cantik" kata lelaki itu kepada dirinya sendiri.


Sejak hari itu, dia tidak lagi menyiram dan menjaga pokok bunga ros itu. Pokok ros yang telah mengeluarkan putik bunga itu kemudiannya mati kekeringan tanpa sempat mengembangkan bunganya.


Mari kita bandingkan diri kita dengan situasi di atas. Ketika kita dilahirkan ke dunia, Allah telah meletakkan beberapa kelebihan dalam diri kita yang kita ibaratkan sebagai putik bunga ros. Persekitaran mendidik kita. Adakalanya didikan yang kita terima bersifat negatif yang kita ibaratkan sebagai duri. Duri dalam kehidupan kita terlalu banyak sehingga menyebabkan mata kita buta untuk melihat kecantikan bunga ros yang berada di dalam diri kita. Yang kita nampak hanyalah duri yang tajam. Kemudian kita percaya bahawa diri kita yang dipenuhi duri ini tidak akan mendatangkan apa-apa faedah dan kebaikan sehingga kita membiarkannya tanpa bersiram. Kita telah membiarkan kelebihan kita (our potential) terpendam di dasar diri tanpa berusaha untuk menonjolkannya ke permukaan disebabkan kepercayaan negatif tersebut.


Photobucket


Mulai hari ini, mari kita siram, letak baja dan tanah yang mencukupi, belai setiap hari sehingga bunga ros yang telah berputik dalam diri kita sejak kita dilahir ke dunia boleh berkembang menjadi bunga ros yang cantik di mana kecantikan itu boleh menyenangkan mata kita dan mata orang-orang yang berada di sekeliling kita. Dalam masa yang sama kita harus berwaspada dengan duri-duri yang tajam itu agar ia tidak melemahkan semangat kita untuk terus berkembang.

1 comment:

  1. wah...sangat mendalam persamaan yang diberikan terhadap bunga ros dan potensi diri..tahniah - pencinta bunga ros.

    ReplyDelete